Friday 21 June 2013

Ali Baba Bujang Lapok



Akhir-akhir ini agak kerap filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee “Ali Baba Bujang Lapok” ditayangkan di TV sama ada oleh Astro ataupun RTM. Walaupun begitu saya tidak jemu-jemu masih setia menontonnya. Begitu juga dengan filem-filem Allahyarham yang lain yang berbentuk komedi, saya masih belum puas menontonnya walaupun beberapa kali ditayangkan. Inilah istimewanya insan yang bernama P. Ramlee ini. Bandingkan dengan komedi moden, contohnya siri Raja Lawak atau Karoot Komedia. Sekali ulang masih boleh bertahan tetapi kalau dah dua atau tiga kali, saya mula cari saluran lain.      

Berbalik kepada Ali Baba Bujang Lapok. Apa yang menarik dan menggelikan hati saya selain dari lawak-lawak yang bersahaja yang ditonjolkan itu ialah cara salam diucapkan oleh Norsiah (isteri Ali Baba) dan dijawab oleh Normadiah (tak ingat watak apa yang dilakonkan beliau). Salam yang diucapkan oleh Norsiah: assalaamu’alaikunna, dan dijawab oleh Normadiah: wa’alaikunnassalaam. Nampaknya P. Ramlee ingin mencari kelainan, bukannya menggunakan lafaz yang selalu kita dengar (iaitu assalaamu’alikum dan wa’alaikumussalaam) walaupun ianya dibolehkan untuk digunapakai untuk semua keadaan tidak kira sama ada yang diberi salam itu lelaki atau prerempuan dan seorang atau ramai sungguhpun ianya bercanggah dengan nahu Bahasa Arab.      

Lafaz yang betul yang sepatutnya diucapkan oleh Norsiah ialah: assalaamu’alaikuma, kerana hanya ada dua orang perempuan semasa salam diucapkan. Jawapan oleh Normadiah sepatutnya: wa’alaikissalaam, kerana ianya ditujukan kepada Norsiah seorang sahaja.

Apa agaknya punca terlepas pandang ini oleh P. Ramlee. Datuk Aziz Sattar (yang melakonkan watak Ali Baba) mungkin dapat memberikan penjelasan. Apa yang saya boleh agak ialah bahawa P. Ramlee mungkin telah bertanya kepada seorang ustaz apa lafaz yang betul untuk jamak (plural) bagi perempuan dan ustaz tersebut telah memberikan jawapan yang betul berpandukan soalan iaitu: assalaamu’alaikunna. Jamak dalam Bahasa Arab ialah tiga dan ke atas, berbeza dengan Bahasa Inggeris iaitu dua dan ke atas.  

Wallaahua’lam