Akhir-akhir
ini agak kerap filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee “Ali Baba Bujang
Lapok” ditayangkan di TV sama ada oleh Astro ataupun RTM. Walaupun begitu saya
tidak jemu-jemu masih setia menontonnya. Begitu juga dengan filem-filem
Allahyarham yang lain yang berbentuk komedi, saya masih belum puas menontonnya
walaupun beberapa kali ditayangkan. Inilah istimewanya insan yang bernama P.
Ramlee ini. Bandingkan dengan komedi moden, contohnya siri Raja Lawak atau
Karoot Komedia. Sekali ulang masih boleh bertahan tetapi kalau dah dua atau
tiga kali, saya mula cari saluran lain.
Berbalik
kepada Ali Baba Bujang Lapok. Apa yang menarik dan menggelikan hati saya selain
dari lawak-lawak yang bersahaja yang ditonjolkan itu ialah cara salam diucapkan
oleh Norsiah (isteri Ali Baba) dan dijawab oleh Normadiah (tak ingat watak apa
yang dilakonkan beliau). Salam yang diucapkan oleh Norsiah:
assalaamu’alaikunna, dan dijawab oleh Normadiah: wa’alaikunnassalaam. Nampaknya
P. Ramlee ingin mencari kelainan, bukannya menggunakan lafaz yang selalu kita
dengar (iaitu assalaamu’alikum dan wa’alaikumussalaam) walaupun ianya
dibolehkan untuk digunapakai untuk semua keadaan tidak kira sama ada yang
diberi salam itu lelaki atau prerempuan dan seorang atau ramai sungguhpun ianya
bercanggah dengan nahu Bahasa Arab.
Lafaz
yang betul yang sepatutnya diucapkan oleh Norsiah ialah: assalaamu’alaikuma,
kerana hanya ada dua orang perempuan semasa salam diucapkan. Jawapan oleh
Normadiah sepatutnya: wa’alaikissalaam, kerana ianya ditujukan kepada Norsiah
seorang sahaja.
Apa
agaknya punca terlepas pandang ini oleh P. Ramlee. Datuk Aziz Sattar (yang
melakonkan watak Ali Baba) mungkin dapat memberikan penjelasan. Apa yang saya
boleh agak ialah bahawa P. Ramlee mungkin telah bertanya kepada seorang ustaz
apa lafaz yang betul untuk jamak (plural) bagi perempuan dan ustaz tersebut
telah memberikan jawapan yang betul berpandukan soalan iaitu:
assalaamu’alaikunna. Jamak dalam Bahasa Arab ialah tiga dan ke atas,
berbeza dengan Bahasa Inggeris iaitu dua dan ke atas.